ThroughTheLens

Rintihan anak Malaysia di Perantauan August 30, 2007

Filed under: Personal Opinion — saifulrizan @ 12:06 pm
Untuk kali ini, saya mohon untuk menggunakan Bahasa Melayu. Maaf, bukan kerana saya enggan berbahasa Inggeris, ataupun bersikap supremasi untuk menunjukkan yang saya terlalu cinta dan banggakan Malaysia sepenuh hati saya. Saya anggap ini peluang untuk saya meluahkan apa yang terbuku di hati saya berdasarkan pemerhatian dan tanggapan (dilengkapi dengan bacaan dan tatapan harian )saya. Lagi pun, saya kurang selesa dicap sebagai lupa daratan hanya kerana saya berada di luar negara. Agak malang sesetengah manusia masih menganggap bangsa Melayu adalah satu-satunya bangsa yang hebat sehingga menidakkan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman dari bangsa lain. Ah, permulaan yang hebat untuk kali ini. Setidak – tidaknya mereka yang memandang rendah terhadap saya boleh lah buka mata mereka sekarang, kerana saya menulis dengan bahasa yang satu – satunya mereka fahami.

Tahun ini saya merayakan Hari Kemerdekaan di luar negara. Agak ironi tahun ini saya hanya duduk di rumah, menghadap komputer riba ini dan menyertai forum – forum sekadar mengisi masa terluang, berbanding sewaktu saya berada di Labuan. Malam ini pulau Labuan bakal bergema dengan gegaran konsert dan bunga api. Beberapa artis dari Akademi Fantasia dijemput untuk memeriahkan penduduk Labuan yang berbilang bangsa dan warganegara. Ya, sepanjang pemerhatian saya, warganegara asing yang banyak meraikan hari kemerdekaan di Dataran Labuan, cukup dengan gaya dan sikap yang diimport khas dari negara mereka. Agak beruntung kalangan mereka ini, bebas untuk berbuat apa sahaja di negara kita, selagi mereka mempunyai dokumen yang sah di poket, atau duit lebih untuk menggalakkan si penegak keadilan tutup sebelah mata. Berbanding rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, kita lebih sopan dan akur dengan undang-undang negara yang kita diami. Manakan tidak, penguatkuasaan undang – undangnya agak tegas dan kurang bertoleransi selagi kata putus berkenaan siapa salah dicapai secara mutlak. Maka itu saya rasakan hidup di sini lebih selamat berbanding di Malaysia. Maaflah, bukan niat saya untuk memperkecilkan negara kita, tapi apa guna kita banggakan sesuatu yang hanya cantik pada uniform luaran, tapi sebaliknya di dalam.

Sesuatu yang lazim pada malam sambutan kemerdekaan, ialah gelagat remaja yang berpusu – pusu mengerumuni Dataran Labuan, menikmati keseronokan berjumpa rakan – rakan, dengan pelbagai agenda mereka tersendiri. Sebelum ini, penulis agak pedih hati melihat gelagat remaja baru keluar kampung yang menghadiri satu majlis keramaian yang diadakan di Dataran Labuan. Jelik dan meluat melihat perangai mereka memaki – maki rakan sambil ketawa bagai pontianak, dengan harapan untuk menarik perhatian orang ramai agaknya. Mereka berjaya menarik perhatian pengunjung, namun sebaliknya tindakan mereka itu tidak menjemput rasa kagum, tetapi rasa kecewa pakcik – pakcik dan makcik – makcik yang melihat gelagat pewaris kepimpinan dan kedaulatan negara Malaysia kita. Namun saya berharap mereka hanya sebilangan kecil remaja di Labuan yang bertindak sedemikian rupa, kerana saya amat berharap akan ada seorang anak jati Labuan yang mampu memimpin Labuan secara harmoni dengan semua kaum, tanpa mengira kepentingan dalam perniagaan, politik dan kepentingan kuasa. Sebelum ini sebilangan kawan mencadangkan saya menyertai politik hanya kerana mereka tertarik mendengar hujah dan gaya saya semasa membincangkan Polisi Ekonomi Baru (New Economic Policy) . Saya tolak cadangan tersebut dengan baik, mengenangkan yang politik tidak membawa erti pada impian saya sebagai seorang usahawan yang berjaya di kemudian hari.

Sudah cukup hebatkah Malaysia di mata dunia? Jika ditolak ketepi keadaan politik dan kepimpinan negara, saya rasa kita hanya mampu berbangga dengan penglibatan ekonomi dan penyertaan misi aman tentera Malaysia di negara – negara yang berkonflik hebat. Proton masih hidup, walaupun AFTA akan dilaksanakan sedikit masa lagi; yang saya anggap bisa menelan kredibiliti dan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap barang buatan Malaysia ini. Bidang pelancongan tetap berjalan lancar, dengan tahun 2007 diisytiharkan Tahun Melawat Malaysia oleh menteri yang bencikan blogger seperti saya (oh, maaf, saya tidak menipu dalam blog saya). Di Labuan pula, sudah cukup puaskah kita dengan pembangunan yang kita capai? Hanya kerana status bebas cukai kita mampu menikmati kereta import pada harga yang berpatutan. Dan hanya kerana status bebas cukai lah kita masih mampu mendabik dada bila bercerita tentang pelancongan, tapi menghembus nafas kecewa bila kita terangkan kenapa pelancong datang ke Labuan. Agak ironi dan menyedihkan, namun apa yang mampu kita buat tanpa kuasa dan modal yang besar untuk mengubah nasib pulau ini dan penghuninya? Mungkin kita hanya perlu menunggu sehingga ada pelan untuk manfaat penduduk – penduduk di pulau kita itu yang lebih dari sekadar ada. Secara peribadi, saya tidak tahan untuk menunggu sehingga pemimpin kita buka mata untuk menyedari yang kita perlukan pembangunan dan kemajuan ekonomi yang lebih mantap dan pelbagai dari yang kita nikmati sekarang.

LOFSA dan status pusat kewangan pesisir pantai tidak membantu penduduk tempatan secara langsung dari segi peluang pekerjaan dan peluang perniagaan. Mungkin anak jati Labuan masih sibuk menimba ilmu sebelum berani tunjuk muka di pasaran pekerjaan Labuan yang agak sempit, seperti sempitnya terowong baru arang di Tanjung Kubong. Penulis sendiri menganggur selama 6 bulan sebelum menyertai syarikat tempat penulis bekerja sekarang. Alhamdulillah, setelah hampir 2 tahun bekerja di bawah orang asing, penulis kini berani untuk beralih arah meninggalkan status makan gaji. Saya yakin saya mampu untuk berjaya tanpa bantuan mereka, atau majikan orang Kelantan yang menipu anak jati Labuan dengan kata – kata tidak masuk akal sekadar menunjukkan mereka itu bangsa yang terhebat dan terkaya di Malaysia. Ya, saya bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan yang dimiliki oleh seorang pesara tentera yang agak hebat dari segi kata – kata, namun agak miskin dari segi sikap dan kewangan. Saya meninggalkan syarikat tersebut setelah memutuskan yang kerja sebagai Pengurus dengan gaji RM 500 sahaja (termasuk kerja setengah hari pada hari Sabtu dan overtime tidak dikira) agak keterlaluan dan tidak membantu dari segi pembangunan diri saya sendiri.

Biarlah orang katakan saya pengkhianat kerana beralih arah kepada orang asing dan bekerja dengan lebih keras berbanding bekerja dengan orang Melayu, hanya kerana usaha kita dihargai. Biarpun majikan saya sekarang agak menyukarkan dan cerewet, saya teringat satu frasa “Jangan tengok siapa yang berkata, tetapi dengar apa yang dikatakan”. Agaknya itulah yang membantu saya untuk terus mencari pengalaman dan menguatkan hasrat saya untuk memulakan perniagaan saya sendiri (walaupun saya sebenarnya mempunyai sumber pendapatan sampingan dari dulu lagi).

Maka bila ada bangsa sendiri yang memperlekehkan kredibiliti saya hanya kerana saya bekerja untuk orang putih, saya hanya mendiamkan diri. Mungkin mereka cemburu, mungkin mereka tidak pernah jumpa orang putih, ataupun mungkin mereka hanya melakukan perkara yang agak lazim bagi mereka; merendah – rendahkan orang lain. Memetik respon saya di sebuah forum premier Malaysia; Supremacy; heads up, brains down. Kenapa kita perlu keras kepala dan terlalu mendabik dada membanggakan diri sendiri bila kita tahu yang ia sia – sia?

Sudah 50 tahun kita merdeka, namun kita masih seperti dahulu. Yang berbeza hanyalah acara sambutan mengenangkan kemerdekaan Malaysia setiap tahun. Adakah kita sudah mencapai impian kita? Pada mereka yang menggunakan 50 tahun kemerdekaan sebagai kayu ukur pencapaian diri mereka sendiri, saya ucapkan tahniah dan rasa bangga saya kerana anda bersikap patriotik – mengaitkan cita – cita sendiri dengan pembangunan Malaysia.

Sekian dari Darling Downs, Dalby, Queensland.

Yang benar,
Mohd Saifulrizan Abu Bakar

r />

Advertisements
 

3 Responses to “Rintihan anak Malaysia di Perantauan”

  1. cindy Says:

    Indah sungguh kata-katamu dalam blog hari ini. Walaupun saya terpaksa er.. (took me a while to adapt to the language) tapi saya dapat lihat betapa berjiwa Malaysianya kamu. 🙂

    Selamat Hari Kemerdekaan kepada kamu juga, Saiful. 🙂 Merdeka! Merdeka! Medeka!

  2. mai@lina Says:

    Salam sr,

    hmm aku tau sapa gerangan yg ko maksudkan tu (di loc kan hehe)..nda pa sr, aku sudah berkurun2 di luar negara tp aku anggap di sinilah ‘home’ utama aku skrg…bukanlah mo lupa daratan…bagiku betul apa yg ko ckp atu di luar negara lbh aman dr negara msia..bknlah mo perkecil2kan negara kita..ko pon sudah tau kan naper. 🙂

    selamat hari merdeka sr. 🙂

    p/s demam, batuk karang ani atu inda ulah masuk loc…sanang nanti ku masuk.

  3. SR215 Says:

    Cindy : Terima kasih sebab sudi luangkan masa untuk membaca post yang agak panjang ni.

    Mai : Ya, dan tidak. Bukan setakat di LOC, tapi orang luar pun ada juga. Jadi, terpulang la sama diorang. 🙂


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s